RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia
berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari
jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada
waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir
ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)
Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan,
as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk
berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun
solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir
pada waktu matahari terbit.
Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam
Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong
untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan
mengerjakannya.
Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit
dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu
saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga
hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh
gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.
Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa
keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain.
Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.
Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang
bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam
hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh
(iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan
Ibnu Majah)
Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara
Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang
secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.
Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat
dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah
kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan
senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu
berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan
janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan
daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah
keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)
Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan
dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam
at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat
solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”
Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita
untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat
Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar
kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?
Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah
solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka
seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.”
(Hadis riwayat Muslim).
Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di
hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan
digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.
Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang
dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu
yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.
Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga
akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami
sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama.
Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana
kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila
kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum
terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka
Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan
solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah
cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang
membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya,
sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis
riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)
Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti
dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan
berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan